Karangan 2
Sejak beberapa tahun, kerajaan telah
melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha
memantau, memulihara, membersih dan mengindahkan keadaan sungai. Walaupun
begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri
Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid melahirkan rasa kecewanya
kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak
sungai kita.
Masalahnya
tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti
pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih
menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa
yang hendak dibuang.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan
kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan
industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen
menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang
mengalir melalui kediaman atau bandar mereka diami adalah milik
mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan
menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha
memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan
lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa
batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah
‘mati’.
Mengikut perangkaan yang diberikan oleh
Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran, Datuk Keizrul
Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin
meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah
sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) kedudukan
pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63
sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun kemudian hanya
tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah
tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada
53. Bagaimanapun, jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan
batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah
yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik
setahun kemudian.
Pemantauan yang dilakukan
Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan
berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara
akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara
ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada
mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan
keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik
setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang
najis dan sampah. Kalau diperhatikan kawasan perumahan, bangunan
dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan
sungai. Ramai ketika itu menjadikan sungai sebagai saliran sampah
dan najis. Sehingga kini pun ketika pemaju
perumahan misalnya sudah tidak lagi menganggap sungai sebagai
saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai
masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.
Selagi tahap kesedaran terhadap
kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk
memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk
daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap
persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa
kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam
sekitar. Media juga boleh memainkan peranan
untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai
dipelihara supaya terus bersih.
Demikian juga walaupun ada pelbagai
peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan
dibuang ke sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap
diteruskan. Pemantauan dan pencegahan
oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan.
Lazimnya, apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka
bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa
sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan
membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup,
apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan,
sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan
dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh
dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.
Jelasnya, segala usaha mungkin akan
mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat
pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang
terjejas dapat dipulihkan.